Skip to main content
Soalan<br>Lazim

Soalan
Lazim

Hubungi<br>Kami

Hubungi
Kami

Maklum Balas<br>& Aduan

Maklum Balas
& Aduan

Peta<br>Laman

Peta
Laman

Bangi, 23 September 2025 – Seminar Kebangsaan Pertanian Organik (SKOr) 2025 yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Selangor bermula hari ini sehingga 25 September telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Dr. Azman Bin Ismail, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI dalam satu majlis yang menghimpunkan pemain industri, ahli akademik, penggubal dasar, petani, usahawan, serta pelajar dari seluruh negara.

Seminar anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama strategik PETRONAS, Kerajaan Negeri Selangor, Universiti Malaya dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu membawa tema ―Kelestarian dan Keselamatan Makanan melalui Inovasi Pertanian Organik‖ dengan objektif memperkukuh daya saing pertanian organik dan menjadikannya sebahagian daripada sistem makanan arus perdana negara.

Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Azman bin Ismail menyifatkan pertanian organik sebagai sistem pengeluaran makanan yang holistik, mampan dan penting dalam menyokong keseimbangan ekologi serta kesejahteraan rakyat. Beliau turut menegaskan keperluan menjadikan sektor ini sebagai sebahagian daripada tonggak utama sistem makanan negara, selari dengan dasar kerajaan Malaysia Madani dan Matlamat Pembangunan Lestari 2050. "Sehingga kini, hanya kurang daripada 1% kawasan pertanian di Malaysia disahkan organik. Namun, inisiatif seperti projek padi organik di Kelantan telah membuktikan keupayaan hasil tanpa penggunaan input kimia sintetik. Ini menunjukkan potensi besar pertanian organik jika diurus secara sistematik dan lestari," ujar beliau.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2003, Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) telah mengiktiraf lebih 700 hektar ladang di seluruh negara. Dalam usaha menyokong pertanian organik, MARDI turut mempunyai ladang organik yang dipersijilkan myOrganic yang
berfungsi sebagai pusat penyelidikan, latihan dan demonstrasi teknologi pertanian organik.

SKOr 2025 menyediakan ruang dialog yang konstruktif antara pelbagai pihak, membolehkan peserta berkongsi ilmu, teknologi dan pengalaman dalam menjayakan transformasi pertanian organik di Malaysia. Ia juga menampilkan sesi pembentangan kertas kerja,
pameran inovasi serta perbincangan panel melibatkan tokoh industri dan akademik.

Sempena seminar ini, satu inovasi teknologi baharu turut dilancarkan secara rasmi iaitu CabbioShield, sejenis biopestisida mesra alam yang diperkaya nutrien, dibangunkan oleh penyelidik MARDI bagi menangani penyakit reput lembut pada tanaman kubis — antara
masalah utama yang menjejaskan hasil tanaman sayuran daun di negara ini.

CabbioShield: Inovasi Tempatan untuk Pertanian Lebih Lestari
  • Mengandungi inokulan mikrob aktif (Streptomyces sp.) strain tempatan.
  • Diformulasi dalam bentuk tablet untuk aplikasi secara taburan (broadcast) di pangkal pokok.
  • Didaftarkan di bawah IP MARDI Trade Secret.
  • Mengurangkan serangan reput lembut sehingga 77.4% dan meningkatkan hasil boleh jual sebanyak 55.8%.
  • Produk ini juga menggabungkan fungsi biopestisida dan pembajaan serentak, menjadikannya lebih efisien dan menjimatkan.
  • Sesuai untuk digunakan pada tanaman kubis konvensional dan organik.
Pelancaran CabbioShield menjadi bukti kukuh komitmen MARDI untuk meneroka penyelesaian teknologi tempatan dalam menyokong pertanian organik dan konvensional secara serentak — dengan pendekatan yang lestari, mesra alam dan ekonomi. Hadir sama ialah YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI; serta pegawai kanan kementerian, agensi dan pemain industri.

-TAMAT-   

Pengarang

  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia

  • Pusat Komunikasi Korporat
    Ibu Pejabat MARDI
    Persiaran MARDI-UPM
    43400 Serdang
    Selangor

  • 03-8953 7201

  • 03-8953 7220

  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

  • https://www.mardi.gov.my

Media Sosial MARDI

Berita Berkaitan