Skip to main content
Soalan<br>Lazim

Soalan
Lazim

Hubungi<br>Kami

Hubungi
Kami

Maklum Balas<br>& Aduan

Maklum Balas
& Aduan

Peta<br>Laman

Peta
Laman

Bachok, 22 September – YBhg Dato' Dr Haji Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), telah mengadakan lawatan kerja ke plot pengeluaran benih bawang merah di Beris Lalang, Bachok. Lawatan ini bertujuan memberi sokongan berterusan terhadap pembangunan usahawan tani yang dibimbing oleh MARDI, khususnya dalam memperkasa pengeluaran benih bawang merah tempatan.

Semasa lawatan tersebut, Dato' Dr Haji Mohamad Zabawi berpeluang melihat sendiri kemajuan yang dicapai oleh Encik Mohd Fauzi bin Abu Bakar, seorang usahawan tani bimbingan MARDI yang kini menjadi pengeluar utama benih bawang merah varieti BAW-1 di Kelantan.

Encik Mohd Fauzi memulakan penanaman benih bawang merah secara berskala kecil pada tahun 2023 di TKPM Telong. Bermula dengan 500 polibeg dan hasil 115 kg benih pada musim pertama, beliau berjaya meningkatkan pengeluaran kepada 2,400 kg setiap musim penanaman pada tahun 2025 dengan 6,000 polibeg.

Dengan sokongan teknikal daripada MARDI Bachok dan Pusat Penyelidikan Hortikultur, Encik Mohd Fauzi kini merancang memperluas kapasiti penanaman kepada 20,000 polibeg pada tahun 2026 dengan sasaran pengeluaran 10,000 kg setiap musim.
Selain itu, tapak baharu di Beris Lalang, Bachok yang dibuka pada Julai 2025 turut menunjukkan perkembangan positif. Penanaman 10,000 polibeg secara berperingkat bermula 1 Ogos 2025 dijangka menghasilkan 5,000 kg benih menjelang Oktober 2025, dengan rancangan pengembangan kepada 30,000 polibeg dan hasil 15,000 kg semusim pada 2026.

Gabungan operasi di TKPM Telong dan Beris Lalang dijangka membolehkan pengeluaran benih bawang merah BAW-1 mencapai 50,000 kg setahun mulai 2026, mengurangkan kebergantungan negara terhadap benih import serta membina ekosistem benih tempatan yang mampan dan berdaya saing.

Dato' Dr Haji Mohamad Zabawi berkata, “Pencapaian Encik Mohd Fauzi jelas membuktikan keberkesanan teknologi dan bimbingan yang diberikan dalam memajukan usahawan tani tempatan. MARDI akan terus komited memberikan sokongan teknikal dan pemindahan teknologi demi memperkukuh industri pertanian negara.”

Bersempena dengan lawatan itu juga, Dato' Dr Haji Mohamad Zabawi turut menyampaikan sumbangan Geran Usahawan perintis bernilai RM140,000.00 bagi aktiviti yang melibatkan aktiviti pengeluaran benih bawang merah MARDI.
Lawatan tersebut turut dihadiri oleh Puan Erny Sabrina binti Mohd Noor, Pengarah MARDI Kelantan; Encik Wan Mohd Aznan bin Wan Ahamad, Ketua Stesen MARDI Bachok, serta pegawai dari Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI.
 
-TAMAT-
    

Pengarang

  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia

  • Pusat Komunikasi Korporat
    Ibu Pejabat MARDI
    Persiaran MARDI-UPM
    43400 Serdang
    Selangor

  • 03-8953 7201

  • 03-8953 7220

  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

  • https://www.mardi.gov.my

Media Sosial MARDI

Berita Berkaitan