Skip to main content
Soalan<br>Lazim

Soalan
Lazim

Hubungi<br>Kami

Hubungi
Kami

Maklum Balas<br>& Aduan

Maklum Balas
& Aduan

Peta<br>Laman

Peta
Laman

Kundasang, 4 November 2025 (Sabtu) – YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini telah mengadakan lawatan rasmi ke Plot Pengeluaran Benih Bawang Merah Usahawan Tani di bawah bimbingan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), bertempat di Kampung Tanah Merah, Mesilou, Kundasang, Sabah.

Lawatan ini bertujuan untuk memberi sokongan berterusan terhadap pembangunan usahawan tani bawang merah di bawah bimbingan MARDI, khususnya dalam memperkasa pengeluaran benih bawang merah tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import. Selain itu, ia turut memberi peluang kepada YB Timbalan Menteri untuk meninjau secara langsung keberkesanan projek perintis pengeluaran benih bawang merah di Kundasang, termasuk penggunaan varieti BAW-1, BAW-2 dan BAW-3, serta menilai potensi pengembangan ke skala yang lebih besar.

Lawatan ini juga mengiktiraf kejayaan usahawan tani tempatan yang telah menunjukkan hasil memberangsangkan dalam industri bawang merah, seterusnya memberi inspirasi dan galakan kepada usahawan lain untuk menceburi sektor pertanian bernilai tinggi. Pada masa yang sama, ia dapat mewujudkan sinergi antara kerajaan, agensi penyelidikan dan komuniti tani dalam usaha memperkukuhkan ekosistem bawang merah di Sabah melalui sokongan teknikal, insentif dan pemindahan teknologi. Secara keseluruhannya, lawatan ini menyokong agenda keterjaminan makanan negara melalui pembangunan pusat pengeluaran bawang merah strategik di Kundasang, yang berpotensi menjadi hab pengeluaran utama negara menjelang tahun 2030.

MARDI telah diberi mandat oleh kerajaan untuk menjadi peneraju dalam pengeluaran benih bawang merah negara melalui fasa pra-pengkomersialan (2024–2025) dan fasa pengkomersialan (2026–2030). Tiga varieti baharu iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 diperkenalkan hasil penyelidikan intensif, sesuai dengan agroiklim tempatan serta berdaya hasil tinggi.

Setakat ini, seramai 15 usahawan tani telah dibangunkan sebagai rakan strategik MARDI bagi menghasilkan benih bawang merah tempatan, termasuk beberapa pengusaha dari Sabah.

Sabah merupakan antara negeri berpotensi tinggi untuk penanaman bawang merah kerana faktor agroiklim tanah tinggi di Kundasang, Tambunan, Ranau serta beberapa kawasan lain yang mempunyai suhu sederhana dan tanah yang subur. Pada masa ini, sebahagian besar keperluan bawang merah negara masih diimport, namun usaha berterusan sedang dijalankan bagi meningkatkan pengeluaran tempatan.

Sehingga tahun 2025, keluasan penanaman bawang merah di Sabah dianggarkan sekitar 7 ekar yang melibatkan lebih 15 orang usahawan tani, termasuk projek rintis di bawah bimbingan MARDI. Dengan sokongan kerajaan, keluasan ini dijangka berkembang kepada lebih 100 hektar menjelang 2030, sekaligus berpotensi mengurangkan import sehingga 30%.

Selain itu, hasil penyelidikan varieti baharu oleh MARDI telah membuktikan bahawa bawang merah tempatan mampu mencapai hasil antara 4 hingga 6 metrik tan sehektar, bergantung kepada amalan agronomi dan pengurusan ladang yang baik.  Potensi ini diyakini mampu melonjakkan Sabah sebagai negeri peneraju pengeluaran bawang merah negara.

Antara usahawan bawang merah di bawah bimbingan MARDI ialah En. Shahrizal Denci, yang telah mengusahakan penanaman seluas 5 ekar dengan hasil 20 metrik tan bagi dua musim penanaman. Beliau kini dalam usaha memperluaskan kawasan penanaman kepada 40 ekar bermula Oktober 2025, dengan sasaran pengeluaran sehingga 200 metrik tan.

Bersempena dengan lawatan ini, YB Dato’ Sri Arthur Joseph turut menyampaikan Geran Usahawan Perintis kepada empat usahawan tani bawang merah berjumlah  RM215,000 bagi aktiviti yang melibatkan pengeluaran benih bawang merah MARDI. Penyampaian geran ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan bagi memperkukuhkan jaringan usahawan tani bawang merah tempatan serta meningkatkan kapasiti pengeluaran benih di Sabah.

MARDI akan terus menyediakan sokongan teknikal termasuk aspek agronomi, kawalan penyakit, pengurusan ladang dan penggunaan benih berkualiti bagi memastikan projek ini berdaya maju.

“Lawatan ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan ekosistem bawang merah tempatan dan menjadikan Kundasang sebagai hab pengeluaran utama negara menjelang 2030,” kata YB Dato’ Sri Arthur Joseph.

Lawatan tersebut turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Dr. Hj. Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI, bersama pengurusan tertinggi MARDI serta wakil-wakil usahawan tani bawang merah tempatan.
 
-TAMAT-
    

Pengarang

  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia

  • Pusat Komunikasi Korporat
    Ibu Pejabat MARDI
    Persiaran MARDI-UPM
    43400 Serdang
    Selangor

  • 03-8953 7201

  • 03-8953 7220

  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

  • https://www.mardi.gov.my

Media Sosial MARDI

Berita Berkaitan